YaPEIM » YaPEIM Perkenal Inisiatif Baharu – Dana Inspirasi Malaysia (INSPIRASIKU)

Blog

YaPEIM Perkenal Inisiatif Baharu – Dana Inspirasi Malaysia (INSPIRASIKU)

Inisiatif baharu telah diambil oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan memperkenalkan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) dijangka memberi manfaat kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah yang memerlukan dalam kalangan keluarga B40.

KUALA LUMPUR 25 Sept 19 – Inisiatif baharu telah diambil oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan memperkenalkan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) dijangka memberi manfaat kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah yang memerlukan dalam kalangan keluarga B40.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar berkata skim terkini yang diperkenalkan khusus melalui Program Pembangunan Sosiekonomi & Amal Jariah dalam aspek kebajikan.

Beliau berkata, sejumlah RM40 juta nilai kutipan disasar melalui Dana Inspirasiku dijangka memberikan manfaat kepada hampir 40,000 pelajar di seluruh Negara, dengan YaPEIM sendiri telah memperuntukan dana awal sebanyak RM1 juta.

“Pengenalan dana dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan beberapa syarikat-syarikat korporat dan pihak berpotensi bekerjasama dengan fokusnya adalah anak-anak B40 untuk sesi persekolahan mahupun pendaftaran pengajian.

“Alhamdulillah, YaPEIM berjaya memperkenalkan inisiatif baharu untuk membantu golongan sasar serba memerlukan dengan kerjasama pelbagai ekosistem dan YaPEIM sebagai katalis mengutip dana untuk disalurkan kepada golongan penerima manfaat,” katanya pada Pra Pelancaran Dana Inspirasi Malaysia di Ibu Pejabat YaPEIM, Kuala Lumpur, di sini.

YaPEIM sebuah yayasan ditubuhkan Kerajaan Persekutuan pada 13 Oktober 1976 dan diperbadankan di bawan Trustees (Incorporation) Act 1952. Bagi menggerakkan potensi serta meluaskan lagi peranannya, agensi ini telah disusun dan dilancar semula pada 20 Julai 1984 oleh Perdana Menteri ketika itu.

Menurut Mohd Daud, YaPEIM terlibat dalam Tiga Teras utama iaitu Bisnes, Sosial Bisnes dan juga Pembangunan Sosioekonomi & Amal Jariah.

Sehubungan itu katanya, inisiatif diambil melalui Dana Inspirasiku adalah selaras gagasan RAHMAH yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan dengan penekanan terhadap aspek menyantuni masyarakat serta memberi kesejahteraan hidup selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG) yang disasarkan United Nations (UN) dalam memperkasa masyarakat negara ini melalui pendidikan saksama dan mapan.

Sementara itu, antara syarat-syarat ditetapkan bagi kelayakan memohon Dana Inspirasi Malaysia itu ialah Permohonan mestilah atas nama ibu bapa atau Penjaga; Pemohon mestilah Warganegara Malaysia dan Mendapat Surat Tawaran Pengajian dari sekolah atau IPT di dalam atau luar negara dan Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi nilai Pendapatan Garis Kemiskinan bagi kategori B40.

Peringkat pengajian yang boleh memohon dana adalah pelajar Sekolah layak menerima bantuan berjumlah RM500 seorang manakala pengajian di IPT pula bantuan sebanyak RM1,000 disediakan.

Sementara itu, setiap sumbangan dan tajaan yang diberi akan dimasukkan ke Tabung Kebajikan dan Pelajaran YaPEIM layak mendapat Pelepasan Cukai Pendapatan di bawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Untuk keterangan lanjut, sila layari laman sesawang di alamat: diny.yapeim.my:81/donate.php


Top

Comments are closed.

Top