YaPEIM » YaPEIM MAJU KE DEPAN, PERKASAKAN EKONOMI UMMMAH.

Blog

YaPEIM MAJU KE DEPAN, PERKASAKAN EKONOMI UMMMAH.

Antara cadangan tersebut jelasnya, pelaburan dalam Ar-Rahnu di mana YaPEIM merancang untuk mewujudkan kira-kira 100 cawangan akses Ar-Rahnu di luar bandar khususnya kawasan penempatan nelayan.

KUALA LUMPUR 18 Januari 2019 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menzahirkan komitmennya untuk terus mengorak langkah ke hadapan dalam usaha memperkasa ekonomi ummah melalui tiga teras perniagaan yang dilaksanakan.

Inisiatif tertumpu kepada pembangunan bisnes, sosial bisnes, pembangunan ekonomi dan modal insan diyakini mampu menyumbang kepada usaha memperkukuh ekonomi rakyat di luar Bandar dan umat Islam amnya.

Ketua Pengarah YaPEIM, Dato’ Abibullah Samsudin berkata, bagi memastikan rantaian ekonomi ummah kekal kukuh, mekanisma berbentuk pengumpulan dana berpusat perlu diwujud melibatkan kerjasama pelbagai agensi berkepentingan termasuklah institusi masjid dan juga perbankan komersial.

Beliau berkata, hasil kolaborasi interaktif antara agensi secara berpusat, keupayaan dana dan kuasa ekonomi umat Islam khususnya kawasan luar bandar dapat diperkukuh di samping mengelakkan kebergantungan hutang yang berterusan kepada orang tengah.

Hari ini katanya, YaPEIM mencadangkan kepada semua pengerusi dan ahli jawatankuasa sebanyak 84 buah masjid di seluruh Wilayah Persekutuan bagaimana sumbangan tabung boleh dimanfaat, melalui satu Endownment Fund di mana kira-kira 30 peratus daripada hasil kutipan dilaburkan ke dalam beberapa projek berpotensi.

“Ini menjadikan 313 cawangan Ar-Rahnu keseluruhannya dengan tujuannya membantu nelayan daripada terjerat dengan hutang orang tengah kerana di musim tengkujuh mereka banyak meminjam, dan akhirnya setelah tiba musim menangkap ikan mereka tidak dapat lari daripada orang tengah kerana terpaksa membayar balik hutang.

“Jadi sekarang kita menyediakan Ar-Rahnu supaya mereka yang tiada duit boleh bergadai di Ar-rahnu YaPEIM dan kita akan bagi pinjaman bagi mengelakkan nelayan terus terjebak dalam kebergantungan hutang kepada orang tengah,” katanya selepas sesi pembentangan dalam Kongres Ekonomi dan Pengimarahan Masjid Peringkat Wilayah 2019 di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Tersenarai sebagai antara pembentang, Dato’ Abibullah mengetengahkan tajuk Peranan Agensi Luar Dalam Pengimarahan Ekonomi, dilihat selari dengan tanggungjawab digalas YaPEIM selaku agensi bertangggunjawab menjayakan dua Kluster iaitu Pembangunan Sosio Ekonomi dan Memperkasa Modal Insan.

Penganjuran Kongres Ekonomi dan Pengimarahan Masjid 2019 telah dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan dihadiri lebih 1,300 orang peserta adalah lanjutan daripada Kongres Ekonomi Peringkat Kebangsaan yang telah berlangsung sebelum ini.

Selain Dato’ Abibullah, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA), YaPEIM, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar turut tampil dalam sesi Wawancara Tetamu Khas dengan topic yang diketengahkan Masjid Penggerak Ekonomi dan Pembangunan Ummah.

Top

Comments are closed.

Top