YaPEIM » USAHA, INISIATIF YaPEIM DIPUJI MUJAHID

Terkini

USAHA, INISIATIF YaPEIM DIPUJI MUJAHID

Pelaksanaan kempen Cabutan Hadiah Bonanza Ar-Rahnu YaPEIM 2018 bukan saja manfaatkan rakyat yang memerlukan pembiayaan kewangan mudah, malah berpeluang memenangi hadiah 10 Perodua Myvi.

PUTRAJAYA 23 April – PENDEKATAN interaktif yang diambil Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) terutama dalam aspek membantu kehidupan rakyat mendapat perhatian Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kesungguhan barisan kepemimpinan dan semua kakitangan YaPEIM berjaya membuahkan hasil apabila prestasi Tiga Teras YaPEIM iaitu Bisnes, Sosial Bisnes dan Pembangunan Sosial serta Amal Jariah mencatatkan pencapaian yang boleh dibanggakan.

Beliau berkata, berkat kesungguhan tersebut juga mendorong perkembangan positif perkhidmatan Pajak Gadai patuh Syariah, Ar-Rahnu YaPEIM itu bukan saja makin dikenali, malah pengoperasian cawangannya juga meluas apabila beroperasi di 203 lokasi di seluruh Negara.

“Dengan beroperasinya cawangan Ar-Rahnu ini secara langsung membuka lebih banyak peluang kerjaya dan menyumbang pendapatan ekonomi bagi rakyat dan negara.

“Syabas dan tahniah kepada YaPEIM atas inisiatif yang diambil dan semoga menjadi penanda aras menzahirkan setiap dasar & polisi kerajaan ketika ini yang sangat mementingkan kebersamaan dan kebertanggungjawaban demi matlamat membela kehidupan rakyat, ” katanya dalam ucapan majlis Penyerahan Hadiah Cabutan Bonanza Ar-Rahnu YaPEIM 2018 di Kompleks Islam Putrajaya.

Yang Hadir sama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Dr. Mohd Daud Bakar dan Ketua Pengarahnya, Datuk Abibullah Samsudin.

Menurut Mujahid, perniagaan Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu dikendalikan oleh YaPEIM merupakan salah satu inisiatif bagi menyediakan kemudahan mikro kredit secara mudah, cepat serta amanah kepada masyarakat, terutamanya golongan yang berpendapatan rendah dan tidak layak mendapat pembiayaan daripada Institusi Kewangan.

Tuntutan bemuamalah dalam perniagaan seperti itu katanya, sangat disarankan oleh Islam adalah antara aspek tumpuan perkhidmatan Ar-Rahnu YaPEIM.

“Jadi, berbekalkan modul perniagaan yang Patuh Syariah, tiada riba dan penggunaan sistem akad sebagai pengesahan dalam urusniaga, Ar-Rahnu YaPEIM hanya mengenakan upah simpan harian hanya 3 sen bagi pelanggan tanpa mengira latar agama, bangsa mahupun keturunan.

“Ini bukti konsep Muamalah dalam perniagaan seperti disarankan Islam itu sangat adil, saksama dan berintegriti tinggi seperti mana disarankan oleh Allah SWT,” jelasnya.

Tambahnya, elemen-elemen tersebut perlu untuk terjemahkan dalam bentuk amalan dan tindakan supaya konsep Rahmatan Lil’Alamin itu mampu dirasai setiap kelompok masyarakat seterusnya mewujudkan kehidupan harmoni sesama rakyat.

Sejumlah RM500,000 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan kempen Cabutan Hadiah Bonanza Ar-Rahnu YaPEIM 2018 yang telah disertai lebih 7,600 pelanggan setia dari semua 203 cawangan statik seluruh Negara dengan nilai marhun diraih RM147 juta, melibatkan pinjaman RM100.5 juta selain menjana sejumlah pendapatan RM8.4 juta.

Top

Comments are closed.

Top