YaPEIM » “SEMOGA KEMENANGAN JADI INSPIRASI” – FARHATUN

Terkini

“SEMOGA KEMENANGAN JADI INSPIRASI” – FARHATUN

“Alhamdulillah saya bersyukur atas limpah kurnia dan nikmat rezeki yang diterima, semoga dengan kemenangan ini mampu menjadi inspirasi kepada golongan muda di luar sana untuk mendekati dan berdampingan dengan Al-Quran.

“SEMOGA KEMENANGAN JADI INSPIRASI” – FARHATUN

KUALA LUMPUR 21 April 2019 – PENGANJURAN Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) Ke-61 yang melabuh tirainya semalam, berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia apabila dua wakil negara iaitu Qari & Qariah bergelar Johan kategori Tilawah Antarabangsa.

Johan Qari Abdul Khair Jalil mencatatkan markah 93.02 peratus telah berjaya mengatasi pencabar, Yassine Bekouassa dari Algeria yang mengumpul 91.75 peratus di tempat kedua, manakala peserta dari Maghribi, Ilyas Lamhayahoui di tempat ketiga dengan 89.92 peratus.

Sementara itu, Nor Farhatul Fairuzah Panut yang bergelar Johan Qariah berjaya mencatat markah 87.05 peratus mengatasi pesaing dari Indonesia Wardatun Nisa Hasa kedua dengan 84.88 peratus dan Qariah Thailand, Karimah Hayibaraheng pula dikedudukan ketiga dengan 80.46 peratus.

Mengulas mengenai kemenangan diraihnya, Nor Farhatul, 19, berkata, beliau sama sekali tidakpun menyangka bergelar Johan Qariah MTHQA Ke-61, memandangkan persaingan daripada peserta lain agak sengit malah penglaman mereka amat jauh mengatasinya.

Bagaimanapun katanya, beliau sangat bersyukur dengan kurniaan rezeki Allah SWT untuknya dan menzahirkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli keluarga serta guru-guru yang telah banyak memberi sokongan untuknya mencipta kejayaan.

“Adalah menjadi harapan saya, golongan remaja dan muda mudi di luar sana yang kini mendepani cabaran media sosial yang melalaikan, berupaya jadikan Kitabullah iaitu Al-Quran sebagai panduan dalam meneroka kejayaan hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Penerbitan & Berita YaPEIM selepas majlis penyerahan rasmi hadiah pemenang MTHQA Ke-61, berupa Goldbar bernilai RM70,000 yang disampaikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar sambil disaksikan oleh Ketua Pengarah YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin.

MTHQA Ke-61 merupakan acara tahunan penuh berprestij hadir dengan temanya pada tahun ini, ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ diadakan selama enam hari mulai 15 hingga 20 April 2019 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen K. Lumpur.

Selain Goldbar bernilai RM70,000 tajaan YaPEIM, kedua-dua pemenang turut menerima wang tunai RM40,000 beserta piala iringan, jam tangan dan minyak wangi.

Dalam pada itu, Nor Farhatul pelajar di tingkatan enam Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Seremban juga adalah Johan Qariah Majlis Tilawah & Hafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Negeri Sembilan, bulan lalu.

“Saya sangat teruja malah tidak pernah menduga mencatat kejayaan di usia muda sebegini. Dalam masa singkat ini, saya tiada perancangan selain tumpukan perhatian kepada pelajaran dan akan gunakan hadiah ini bagi membalas jasa ibu bapa dan jadikan simpanan untuk sambung belajar ke universiti,” katanya yang menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang syariah.

Top

Comments are closed.

Top