YaPEIM » Sasar RM4 Juta Diagihkan Melalui Program FoodBank YaPEIM 1.0

Blog

Sasar RM4 Juta Diagihkan Melalui Program FoodBank YaPEIM 1.0

Inisiatif baharu dilaksanakan untuk membantu golongan sasar rakyat dalam kelompok B40 itu dijangka bakal memberikan manfaat kepada 110,600 orang penerima di seluruh Negara.

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Sejumlah RM4 juta peruntukan bakal diagihkan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dalam tempoh setahun melalui pelaksanaan Program FoodBank YaPEIM 1.0 yang dilancarkan baru-baru ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) YaPEIM, Dr Rosli Yaakop berkata, inisiatif baharu dilaksanakan untuk membantu golongan sasar rakyat dalam kelompok B40 itu dijangka bakal memberikan manfaat kepada 110,600 orang penerima di seluruh Negara.

Beliau berkata, selain sumbangan barang keperluan seperti beras, tepung, minyak masak dan gula kepada keluarga kurang mampu, program FoodBank YaPEIM 1.0 turut menyediakan pek makanan ‘Ready To Eat (RTE) kepada pelajar asnaf di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang telah dikenalpasti.

“Sejumlah RM4 juta diperuntukkan melalui Program FoodBank ini akan membantu kira 110,600 penerima yang serba memerlukan di seluruh Negara, dalam tempoh setahun dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat B40 di peringkat akar umbi.

“Inisiatif ini dimulakan dengan agihan keperluan asas di Kelantan pada Ogos 2019 dan di Sungai Lembing, Kuantan pada 8 September lalu melalui Kembara Ziarah Rahmah 19’ Zon Timur, Kuantan menyaksikan seramai 600 penerima mendapat manfaat, sebelum diteruskan agihan makanan RTE kepada pelajar,” katanya di Majlis Serahan Makanan FoodBank 1.0 YaPEIM kepada 218 pelajar PICOMS Kampus Batu Muda, di sini.

Hadir sama, Naib Canselor PICOMS, Prof. Dr. Wan Mohd. Azizi Wan Sulaiman dan Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan.

Sementara itu, Parihah ketika mengulas lanjut berkata, seramai 400 pelajar PICOMS terpilih bagi menerima sumbangan pek makanan RTE itu selama 4 bulan dengan kriteria pemilihannya adalah berdasarkan kategori pelajar sebagai asnaf.

“Melalui Program FoodBank YaPEIM 1.0 ini kami turut memberikan tumpuan terhadap agihan bantuan kepada mangsa yang terlibat dalam bencana alam. Inisiatif diambil sebahagian daripada usaha mendekatkan YaPEIM dengan masyarakat dan membuka peluang mereka terlibat dalam program keusahawanan yang dikendalikan,” katanya.

Top

Comments are closed.

Top