YaPEIM » Program Ibadah Qurban YaPEIM Medan Hidupkan Syiar Islam

Blog

Program Ibadah Qurban YaPEIM Medan Hidupkan Syiar Islam

YaPEIM melalui Tabung Ibadah Qurban YaPEIM (TaQY) telah pun menyediakan sebanyak 155 ekor haiwan terdiri daripada lembu, kerbau dan kambing untuk dikorbankan diseluruh negara.

KUALA SELANGOR 13 Ogos – PERLAKSANAAN acara tahunan, Program Ibadah Korban YaPEIM sejak 9 tahun lalu, adalah antara inisiatif diambil untuk menghidupkan syiar Islam paling utama sempena sambutan Aidiladha.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) YaPEIM, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, pada tahun ini, YaPEIM melalui Tabung Ibadah Qurban YaPEIM (TaQY) telah pun menyediakan sebanyak 155 ekor haiwan terdiri daripada lembu, kerbau dan kambing untuk dikorbankan diseluruh negara.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 52 ekor haiwan digunakan untuk tujuan wakalah qurban, manakala selebihnya adalah untuk pembekalan dan penjualan kepada peserta.

“Alhamdulillah, tahun 2019/1440H ini, buat kali yang ke-9, YaPEIM bersama menghidupkan syiar Islam yang paling utama di hari yang mulia ini.

“Hari ini, mulai dari pagi hingga jam 1 tengahari, saya bersama Ahli LPA, Prof Dr. Mohamad Akram Laldin dan juga warga kakitangan YaPEIM berada di Colla Cottage, Kuala Selangor untuk mengikuti penyembelihan 3 ekor lembu dan pembungkusan daging kurban untuk agihan,” katanya.

Untuk edisi tahun ini, kata Mohd. Daud, YaPEIM telah bekerjasama dengan pelbagai agensi iaitu termasuk masjid, (15 lokasi); surau (5) sekolah/maahad tahfiz (5), pusat pemulihan/perlindungan (3), komuniti Rohingya (3), agensi kerajaan (2) serta taman perumahan dan orang perseorangan.

Selain agihan daging korban, YaPEIM turut sama menyediakan bantuan sebanyak RM17,600 untuk tujuan sumbangan kenduri, barangan dapur dan buku-buku bacaan khususnya kepada masyarkat di Sabah dan Sarawak.

“Kami menjangka seramai 10,000 penerima akan menerima manfaat daripada aktiviti ibadah Quran YaPEIM tahun ini,” katanya sambil menzahirkan ucapan tahniah pasukan Koperasi Ibadah Qurban YaPEIM atas inisiatif yang diambil.


Top

Comments are closed.

Top