YaPEIM » MTHQA ke-61: YaPEIM TERUSKAN KOMITMEN

Terkini

MTHQA ke-61: YaPEIM TERUSKAN KOMITMEN

Penglibatan YaPEIM sebagai penaja hadiah utama sejak tahun 2013 lagi, adalah bukti komitmen agensi itu dalam memartabatkan majlis ilmu dengan menjadikan Al-Quran asas pedoman.

KUALA LUMPUR 12 April – KOMITMEN digalas Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sebagai penaja utama hadiah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-61 tahun ini diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM280,000.

Tajaan berbentuk set bar emas bernilai RM70,000 setiap satu itu, bakal menjadi milik pemenang Qari dan Qariah Kategori Tilawah Al-Quran serta dua pemenang Kategori Hafazan.

Berdasarkan maklumat kewangan, nilai keseluruhan tajaan oleh YaPEIM sepanjang tujuh kali penganjuran MTHQA termasuk edisi tahun ini, adalah sebanyak RM1.44 juta.

– LOKASI MTHQA –

Dalam pada itu, buat julung kalinya juga lokasi penganjuran MTHQA ke-61 secara rasmi akan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pemilihan lokasi baharu bagi menjayakan majlis ilmu selama enam hari mulai 15 hingga 20 April, memecah tradisi sebelumnya yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemjauan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, pemilihan lokasi MTHQA tahun ini amat signifikan dan selari dengan usaha JAKIM yang menginginkan pembaharuan dalam penganjuran acara yang berprestij itu.

Beliau berkata, keputusan memilih Dewan Plenari KLCC tepat memandangkan fasilitinya sesuai untuk program berprestij seperti MTHQA yang memerlukan tempat kondusif serta mampu menampung lebih ramai pengunjung.

“Selain itu, kemudahan infrastruktur sekelilingnya juga lengkap dan mudah untuk diakses oleh pengunjung serta masyarakat. Jadi, Dewan Plenari, KLCC amat memenuhi ciri-ciri pilihan kita.

“Semua kelompok masyarakat dijemput hadir bagi memeriahkan majlis ilmu MTHQA 2019 ini di mana pada sebelah paginya akan dilangsungkan pertandingan Menghafaz Al-Quran manakala Tilawah Al-Quran pula diadakan di sebelah malam,” katanya.

– BILANGAN PESERTA –

Penganjuran MTHQA kali ke-61 tahun ini menyaksikan 70 negara termasuk Malaysia telah mengesahkan penyertaan dengan penglibatan seramai 107 peserta mengambil bahagian bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan.

Malaysia sebagai tuan rumah akan diwakili oleh Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan, iaitu Abdul Khair Jalil (Qari Selangor) dan Nor Farhatul Fairuzah Panut (Negeri Sembilan).

JAKIM selaku penganjur rasmi MTHQA 2019 turut mendapat sokongan pelbagai agensi termasuklah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang bertindak sebagai Penaja Utama Hadiah Pemenang bernilai RM280,000 berupa set bar emas dianggarkan bernilai RM70,000 setiap seorang.

Top

Comments are closed.

Top