YaPEIM » Majlis Penutup CQ MAS N22 Pantai Manis

Blog

Majlis Penutup CQ MAS N22 Pantai Manis

Komitmen penduduk Pantai Manis, serlahkan program ilmu.

KUALA LUMPUR 4 Mac – Program Celik Quran Masyarakat (CQ-MAS) berlangsung di Pantai Manis, Papar pada 1 hingga 3 Mac, bukan sekadar disambut baik penduduk setempat malah komitmen ditunjukkan mereka menyerlahkan lagi program ilmu yang diadakan.

Seramai 49 orang peserta terdiri daripada penduduk tempatan ternyata gembira sepanjang tiga hari mengikuti Program CQ-MAS anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan kerjasama Institut Pengajian Al-Quran (IPAQ).

Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar ketika berucap dalam majlis penutup program itu di Masjid Jamek As-Salam Benoni, Papar menzahirkan komitmennya untuk mengkaji penggunaan modul pengajian ABAHATA di Sekolah Agama Negeri (SAN).

Beliau telah meminta Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk mengkaji kesesuaian dan keperluan berkaitan bagi membolehkan SAN menggunakan kaedah itu suatu hari nanti.

“Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri sedia maklum dan berhasrat untuk mengaplikasi kaedah ini di masa akan datang.
Walaupun begitu, kami berhasrat untuk cuba menubuhkan akademi pengajian al-Quran di Sabah,” katanya dalam majlis penutup yang turut dihadiri Ketua Penyelia Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri Sabah / Sarawak, Selabi Mohamad; Pengarah YADIM Zon Sabah, Samin Ongki dan Pengerusi Masjid Jamek As-Salam Benoni, Awang Tajuddin.

Menurut Datuk Aidi, program CQ-MAS yang menggunakan kaedah ABAHATA dalam pengajian al-Quran terbukti berkesan dan mampu menarik minat pelbagai kelompok umat Islam untuk melahirkan lebih ramai generasi celik Quran.

“Inisiatif diambil ini selaras objektif program #RoadToMahrajan, yang mana saya berhasrat penduduk Pantai Manis terus komited dalam usaha menghidupkan amalan Mahrajan al-Quran ini,” katanya.

Selain YaPEIM dan IPAQ, program CQ-MAS Pantai Manis turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), JHEAINS dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Top

Comments are closed.

Top