YaPEIM » Lima Tokoh Pelbagai Bidang Raih Pengiktirafan

Blog

Lima Tokoh Pelbagai Bidang Raih Pengiktirafan

Lima individu bergelar tokoh dalam pelbagai bidang, terpilih menerima pengiktirafan sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan tahun ini.

KUALA LUMPUR 13 Sept 19 – Lima individu bergelar tokoh dalam pelbagai bidang, terpilih menerima pengiktirafan sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan tahun ini.

Mendahului senarai penerima anugerah kali ini yang disampaikan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof ialah Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Hj. Ismail Hj. Muhammad yang dinobat sebagai Tokoh Utama.

Pemilihan beliau bukan saja menepati standards anugerah berprestij itu, malah jasa, peranan dan sumbangan besar tokoh anak kelahiran Dungun, Terengganu itu dalam bidang keagamaan tiada tandingan.

Penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1441h, bagi Kategori Tokoh Imam pula ialah Ketua Amil Zakat Fitrah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Abdul Halim Abdullah.

Lulusan Diploma Pengajian Islam & Bahasa Arab Universiti Al-Azhar, Kaherah, berusia 52 tahun itu, adalah individu yang cekal serta amanah dalam melaksanakan tanggungjawabnya, malah pernah meraih berbagai anugerah termasuklah Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan, kategori Pegawai Masjid Terpuji pada 2007.

Sementara itu, pengasas restoran Cina Muslim, Datuk Muhammad Chan Abdullah, 66, dinobatkan sebagai Tokoh Korporat hasil penglibatan aktif beliau di dalam perniagaan dan keusahawanan.

Hasil perkahwinanya dengan Datin Aminah Lee Abdullah, pasangan ini telah pun dikurniakan tiga orang anak.

Bagi penerima Anugerah Tokoh Ilmuan pula ialah Rektor Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur, Prof. Datuk Dr. Noor Inayah Yaakub yang sangat komited menyumbang kepakaran dan berkongsi pengetahuan dengan anggota masyarakat.

Pakar Rujuk Wakaf berusia 50 tahun, turut sama menyandang Pengerusi Panel Penyelidik Pakar, YADIM mulai tahun ini.

Penerima seterusnya kategori Tokoh Pendakwah milik Pengurus Jenazah Wanita, Sitaton Osman, 60 tahun yang banyak berjasa terhadap anggota masyarakat khususnya muslimat.

Kesemua penerima anugerah berjaya membawa pulang wang tunai RM4,000, piala beserta sijil penghargaan yang disampaikan oleh YB Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid.


Top

Comments are closed.

Top