YaPEIM » Keprihatinan YaPEIM Dihargai Penerima

Blog

Keprihatinan YaPEIM Dihargai Penerima

Sumbangan tunai diberikan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sangat dihargai seterusnya membantu perbelanjaan dua anak mangsa kemalangan yang kini menjadi yatim piatu.

SHAH ALAM 4 Okt.- SUMBANGAN tunai diberikan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sangat dihargai seterusnya membantu perbelanjaan dua anak mangsa kemalangan yang kini menjadi yatim piatu.

Zaini Mohamad berkata, bantuan yang disalurkan sebanyak RM4,800 akan dijadikan simpanan bagi pendidikan cucunya, Hana Safiyyah Muhammad Hamadi, 6, dan Hani Safina Muhammad Hamadi, yang kehilangan kedua ibu bapa setelah terbabit kemalangan jalan raya kira-kira dua bulan lalu.

“Anak saya, Allahyarham Nur Syuhadah bersama suami, Allahyarham Muhammad Hamadi Zakaria terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Walaupun sedih di atas pemergian mereka, namun saya redha ketentuan Allah SWT.

“Kini, kedua anak mangsa akan dijagai oleh saya dan isteri selaku datuk dan nenek mereka. Jadi, saya berharap mereka berdua membesar dengan sempurna seperti kanak-kanak lain dan diberikan perhatian sewajarnya walaupun tiada lagi ibu dan bapa,” katanya yang ditemui semasa penyerahan sumbangan Sinar Kasih YaPEIM di Shah Alam.

Replika cek sumbangan bernilai RM4,800 melalui inisiatif program Sinar Kasih itu telah diserahkan oleh Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan dan turut bersama Pengurusan Utama YaPEIM

Dalam pada itu, Zaini turut menzahirkan terima kasih atas keprihatinan YaPEIM dan penyumbang Skim Potongan Gaji (SPG) terdiri daripada semua lapisan rakyat yang selama ini ikhlas menderma, telah membolehkan program amal dan kebajikan dilaksanakan secara kondusif.


Top

Comments are closed.

Top