YaPEIM » KEMPEN PROMOSI AR RAHNU YaPEIM DITERUSKAN

Terkini

KEMPEN PROMOSI AR RAHNU YaPEIM DITERUSKAN

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) YaPEIM, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, pendekatan diambil sangat baik dalam usaha mendekatkan produk perniagaan YaPEIM dengan masyarakat sebagai kelompok sasaran.

KUALA LUMPUR 14 Mac – Kempen Promosi Hadiah Bonanza Ar-Rahnu YaPEIM berlangsung sepanjang tahun lalu bukan sahaja mendapat sambutan pelanggan, malah menjadi instrumen yang menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan.

Berdasarkan perangkaan, sepanjang tempoh kempen diadakan, sejumlah 7,631 penyertaan telah didaftarkan melibatkan 30,524 transaksi gadaian di semua 203 cawangan Ar-Rahnu YaPEIM.

Beliau berkata, inisiatif kempen menawarkan hadiah 10 Perodua Myvi itu bertepatan bagi mempromosi produk dan menarik minat pelanggan menggunakan perkhidmatan disediakan.

“Bagi peringkat LPA dan Pengurusan YaPEIM, akan sentiasa fokus dan mencari kaedah-kaedah baharu yang bersesuaian sebagai satu instrumen menzahirkan penghargaan kepada pelanggan yang setia selama ini dengan Ar-Rahnu YaPEIM.

“Saya rasa ia inisiatif yang baik cuma perlu melihat bagaimana kaedah menambah nilai kepada YaPEIM sendiri sama ada dari aspek hadiah, kekerapan transaksi mahupun ketegaran pelanggan kekal dengan produk yang ditawarkan,” katanya selepas majlis Cabutan Pemenang Hadiah Bonanza Ar-Rahnu YaPEIM 2018 di Dewan Utama YaPEIM, Grand Season Avenue, di sini.

Dalam majlis tersebut, senarai 10 pemenang Hadiah Bonanza yang bakal membawa pulang 10 Perodua Myvi telah diketahui dengan proses pemilihan ditentukan sepenuhnya oleh sistem komputer.

Dalam pada itu, pelaksanaan kempen itu disifatkan mencapai matlamat promosi di samping memastikan produk pajak gadai patuh Syariah ditawarkan kekal kompetetif dalam pasaran.

Pengurus Besar Ar-Rahnu YaPEIM, Juliana Jusoh berkata, impak kempen memacu perniagaan melepasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan iaitu 1 juta transaksi kepada 1.055 juta, selain menjana keuntungan projek sebanyak RM44.9 juta berbanding sasaran RM39 juta bagi tahun kewangan 2018.

“Penawaran kempen ini juga telah membawa masuk nilai marhun (emas) sebanyak RM147 juta dengan nilai pinjaman dikeluarkan RM100.5 juta, di samping menjana pendapatan upah simpan emas sebanyak RM8.4 juta, menyumbang kepada keuntungan projek sebanyak 115.02 peratus,” katanya.

Top

Comments are closed.

Top