YaPEIM » Karnival Rahmah 2019 Meriah, Peluang Kukuhkan Kedamaian

Blog

Karnival Rahmah 2019 Meriah, Peluang Kukuhkan Kedamaian

Penganjuran julung kali Karnival Rahmah 2019 (KR19) selama empat hari di Dataran Putrajaya, berlangsung meriah apabila dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat daripada berbilang bangsa.

PUTRAJAYA 28 Sept.- Penganjuran julung kali Karnival Rahmah 2019 (KR19) selama empat hari di Dataran Putrajaya, berlangsung meriah apabila dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat daripada berbilang bangsa.

Sambutan positif terhadap karnival yang bermula 26 hingga 29 September dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama rakan-rakan strategik Agensi Islam Persekutuan itu, sekaligus menjadi medan penting bagi menyebar luas mesej kedamaian dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, selain mengumpulkan semua agensi di bawah JPM, KR19 menyediakan pelbagai program yang mengandungi mesejnya tersendiri seperti kasih sayang dan kepentingan persaudaraan.

“Kita sasar kehadiran ramai pengunjung daripada berbilang kaum dan bangsa. Setiap gerai terlibat pameran mempunyai enam nilai utama RAHMAH iaitu R untuk Rahmah, A (Aman), H (Harmoni), M (Mesra), A (Alami) dan H (Hormat). Istimewanya karnival ini ialah setiap gerai memiliki kelebihan tersendiri, yang boleh diterjemahkan serta sarat dengan mesej penting.

“Dalam suasana hari ini penuh dengan pelbagai isu perkauman yang menjurus kepada kebencian, diharapkan KR19 ini berupaya membawa mesej kedamaian, aman dan keharmonian yang sangat diperlukan,” katanya dalam kenyataan sempena perasmian KR19 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, di Dataran Putrajaya.

Karnival yang julung kalinya dianjurkan itu bukan sahaja mendapat sambutan positif pengunjung, malah menjadi medium untuk masyarakat lebih mengenali dan memahami fungsi serta peranan setiap agensi berkaitan keagamaan.

Secara keseluruhan semua 14 agensi di bawah portfolio Menteri Agama terlibat dalam pameran termasuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang tampil dengan beraneka booth seperti Harmoni yang menyajikan pelbagai produk serta perkhidmatan termasuk maklumat terkini berkaitan produk baharu dilancarkan oleh YaPEIM, Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku).

Selain maklumat, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai tawaran menarik disediakan oleh YaPEIM antaranya Tabung Ibadah Qurban, CMASA.MY, Kad Privilege YaPEIM, YaPEIM Gold dan jualan produk Farmasi Santun serta Khidmat Pembersihan dan Cucian Rumah dikendalikan oleh Darul Sasaran Sdn. Bhd.

YaPEIM juga turut mengagihkan Foodbank YaPEIM 1.0 kepada 160 keluarga di kalangan B40 sekitar Putrajaya sepanjang KR19.

Karnival selama empat hari itu berkonsepkan hibur didik dengan pelbagai program menarik menanti pengunjung antaranya program Pencarian Bilal, Halal Fun Run, pesta buah-buahan, jamuan Rahmah yang menyajikan makanan percuma kepada pengunjung, pertunjukan paragliding dan Konsert Rahmah.


Top

Comments are closed.

Top