YaPEIM » Inisiatif YaPEIM Lancar Dana Inspirasiku Dipuji

Blog

Inisiatif YaPEIM Lancar Dana Inspirasiku Dipuji

Inisiatif diambil oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melancarkan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) disifatkan sebagai satu usaha murni bagi membantu pelajar yang memerlukan dalam kalangan keluarga B40.

KUALA LUMPUR 6 Nov 19 – Inisiatif diambil oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melancarkan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) disifatkan sebagai satu usaha murni bagi membantu pelajar yang memerlukan dalam kalangan keluarga B40.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, Dana Inspirasiku yang mensasarkan kutipan sebanyak RM40 juta untuk membantu pelajar dalam kalangan keluarga B40 memulakan sesi persekolahan serta persediaan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) itu mampu membela nasib golongan sasar rakyat.

“Inisiatif diperkenalkan YaPEIM dapat memberi bantuan kepada hampir 40,000 pelajar di dalam kalangan anak-anak yang memerlukan.

“Inisiatif murni berupaya memperkasa golongan B40 ini mendapat hak serta peluang pendidikan yang sama harus disokong oleh semua termasuk individu, syarikat dan institusi yang mempunyai keupayaan tampil bersama-sama menggembleng sumber dan keupayaan yang ada,” katanya dalam ucapan pelancaran Dana Inspirasiku di Dewan Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur di sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri, YB Fuziah Salleh; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar; Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Wahid Omar dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr. Mohd Amin Senin.

Menurut Wan Azizah, usaha YaPEIM memupuk kesedaran dan keprihatinan masyarakat dalam menyantuni kumpulan sasar melalui Inspirasiku diharap memanfaat golongan berkenaan.

Katanya, YaPEIM sendiri peruntukkan sebanyak RM1 juta kepada Dana Inspirasiku sebagai tanda komitmen serta kesungguhannya menjayakan inisiatif ini, saya menyeru semua pihak termasuk individu, syarikat dan badan korporat bersama menyokong Dana ini demi kelangsungan masa depan anak-anak kita.

“Tahniah YaPEIM kerana telah jadi pemangkin di dalam membantu kerajaan melestarikan bantuan yang sangat kritikal kepada golongan sasar serba memerlukan.

“Sekiranya kemudahan tunai daripada Bantuan Sara Hidup (BSH) digunakan untuk keperluan belanja isi rumah, maka Dana Inspirasiku pula akan menjadi pelengkap bagi penuhi keperluan persekolahan anak-anak mereka,” ujarnya.


Top

Comments are closed.

Top