YaPEIM » GANJARAN SEBAGAI RANGSANGAN AR RAHNU YaPEIM CAPAI KPI

Blog

GANJARAN SEBAGAI RANGSANGAN AR RAHNU YaPEIM CAPAI KPI

“Anugerah Pencapaian KPI 2018 turut menjadi saluran motivasi bagi setiap cawangan Ar-Rahnu YaPEIM dan petugasnya bersaing antara satu sama lain bagi mencapai sasaran ditetapkan.

SHAH ALAM 22 Feb 19 – Pencapaian operasi cawangan Ar-Rahnu YaPEIM yang berjaya melepasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seperti disasarkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sepanjang tahun 2018, layak menerima ganjaran setimpal sebagai ransangan untuk mereka terus konsisten.

Ketua Pengarah YaPEIM, Dato’ Abibullah Samsudin berkata, prestasi cemerlang setiap cawangan Ar-Rahnu YaPEIM dan petugas dinilai berpandukan enam kategori iaitu Keahlian, Transaksi, Pinjaman, Nilai Marhun, Kad Privilege YaPEIM dan Keuntungan Projek.

Beliau berkata, pemenang bagi setiap kategori layak menerima ganjaran berupa Gold Bar dan beberapa hadiah iringan lain sebagai menghargai pencapaian prestasi mereka melepasi KPI ditetapkan.

“Saya ingin sarankan semua 212 cawangan Ar-Rahnu YaPEIM seluruh negara supaya teruskan usaha dan sentiasa produktif bukan sahaja mencapai KPI tetapi meningkatkan nama serta kualiti perkhidmatan YaPEIM untuk masyarakat,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pencapaian KPI 2018 Ar-Rahnu YaPEIM di Laman Kayangan, Shah Alam.

Majlis Anugerah julung kali diadakan bagi menghargai kerja keras setiap cawangan dan kakitangan Ar-Rahnu YaPEIM menyaksikan seramai 71 orang dinobat sebagai pemenang beberapa kategori antaranya Prestasi Transaksi; Prestasi Pinjaman; Prestasi Nilai Marhun dan Prestasi Pendaftaran Kad Privilege.

Selain itu, lima pemenang Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri (PPYN) turut menerima anugerah masing-masing iaitu PPYN Cawangan Kelantan; PPYN Cawangan Terengganu; PPYN Cawangan Melaka / Negeri Sembilan; PPYN Cawangan Sabah dan juga PPYN Cawangan Sarawak.

Pemenang bagi setiap kategori membawa pulang hadiah berupa Gold Bar mengikut kategori iaitu bermula 0.5 gram, 1.0 gram dan juga 2.0 gram selain sijil penghargaan dan hadiah iringan.

Top

Comments are closed.

Top