YaPEIM » FOODBANK JAWI MANFAATKAN RAKYAT SERBA MEMERLUKAN

Blog

FOODBANK JAWI MANFAATKAN RAKYAT SERBA MEMERLUKAN

Selaku peneraju program di peringkat kebangsaan, YaPEIM dijangka bakal melaksanakannya melalui kerjasama strategik rakan-rakan agensi agama di peringkat negeri.

KUALA LUMPUR 13 Mac.- INISIATIF diambil Jabatan Agama Islam WiIayah Persekutuan (JAWI) melalui Program Food Bank, dijangka mampu memanfaatkan golongan rakyat yang serba memerlukan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, JAWI sebagai agensi pelaksana program itu di sekitar Kuala Lumpur, turut disertai lebih 80 buah masjid sebagai pusat pelaksanaanya.

Beliau berkata, pendekatan interaktif melalui program kebajikan itu bukan sahaja dapat menyantuni golongan asnaf di kawasan berhampiran, malah membentuk kerjasama strategik yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, membuktikan jati diri dan keprihatinan rakyat Malaysia.

“Penyatuan inilah asas penting telah membuktikan perpaduan rakyat yang hidup harmoni dalam sebuah negara berbilang kaum dan pelbagai budaya di Malaysia. Jadi, penglibatan masjid sebagai pusat mengumpul seterusnya mengagihkan sumbangan itu, selaras konsep masjid Rahmah sepertimana dihasratkan oleh kerajaan.

“Sebagai permulaan Food Bank-JAWI ini, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan Ibu Pejabat JAWI dikenal pasti sebagai pusat bagi pengumpulan dan penyimpanan makanan, sebelum ia dikembangkan ke masjid-masjid yang bersesuaian,” katanya dalam ucapan perasmian Program Food Bank-JAWI di Masjid Jamek, hari ini.

Turut hadir Pengarah JAWI, Mohd. Ajib Ismail, Ketua Pengarah YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin dan penyumbang dalam Food Bank-JAWI antaranya Pengasas dan Pengerusi Eksekutif KK Supermart, Datuk Seri KK Chai serta Pengasas Restoran Ali Maju, Datuk Jawahar Ali.

Di samping itu, pelaksanaan program ini turut mendapat kerjasama agensi kerajaan JAKIM, YaPEIM dan MAIWP selain disertai syarikat swasta yang berbeza fahaman agama dan bangsa termasuk Nestle; Lulu Hypermart dan Persatuan Perjaja & Peniaga Kecil Kuala Lumpur, telah berjaya suburkan konsep Rahmatan Lil A’lamin seperti mana gagasan kerajaan hari ini.

Sementara itu Mohd. Ajib menjelaskan seramai 150 asnaf dan warga kurang bernasib baik menerima sumbangan berupa barang makanan dan buahan yang disampaikan Yang Berhormat Fuziah Salleh sendiri.

“Selain sumbangan yang diagih di sini (pekarangan Masjid Jamek), beliau dan barisan sukarelawan akan turut menyerahkan sumbangan ini kepada penduduk asnaf di Kampung Baru dan juga penghuni PPR San Peng, Cheras,” katanya.

Dalam pada itu, inisiatif sumbangan dan bantuan kepada golongan serba memerlukan termasuk mangsa yang terlibat bencana akan dikendali oleh YaPEIM melalui program Food Bank For Ummah.

Top

Comments are closed.

Top