YaPEIM » Majlis Penyerahan Keuntungan Ar Rahnu YaPEIM

Majlis Penyerahan Keuntungan Ar Rahnu YaPEIM

Majlis Penyerahan Keuntungan Ar Rahnu YaPEIM

Bismillahirrahmanirrahim

– YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Hj baharom (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri)

– YBhg Dato’ Hjjah Zaleha Hussin (Timbalan Presiden  YaPEIM)

dan Ahli LPA yang turut hadir

– YBrs Sdr Abibullah Hj Samsuddin selaku Ketua Pengarah dan Pengurusan Utama YaPEIM

– Wakil-wakil Majlis Agama Islam Negeri dan Tabung Baitul Mal Negeri

– Rakan-rakan Media

– Pegawai-pegawai Kanan dan institusi serta warga kerja YaPEIM

– Urusetia dan Hadirin sekelian

Assalamu’alaikum Wr Wbth

1. Pertama-tamanya dipanjatkan setinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana hasrat untuk mengadakan majlis penyerahan keuntungan Ar Rahnu kepada Pelabur-pelabur Ar Rahnu dapat diadakan dan insyaAllah akan disempurnakan oleh YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri pada pagi yang berbahagia ini.

2. Sesungguhnya pihak YaPEIM sangat berbesar hati kerana YB Dato’ Seri tidak pernah jemu untuk bersama YaPEIM dan kali ini sudi pula  meluangkan masa untuk hadir dan seterusnya menyempurnakan majlis yang diadakan pada pagi ini. Terima kasih YB Dato’ Seri..

3. Bagi pihak LPA, Pengurusan dan warga kerja YaPEIM, saya juga ingin mengambil peluang ini untuk menyampaikan setinggi penghargaan dan terima kasih setulusnya  kepada  tetamu yang sudi meluangkan masa untuk bersama  bagi memeriahkan lagi majlis yang dianjurkan pada pagi ini.

YB Dato’ Seri dan Hadirin sekalian,

4. Majlis yang sangat sederhana ini dianjurkan pada hari ini merupakan acara simbolik kepada komitmen YaPEIM dalam menunaikan Amanah dan Tanggungjawab kepada rakan-rakan pelabur yang telah mengambil keputusan untuk merebut peluang, selain turut menjayakan program ini sejak awal.

YB Dato’ Seri Hadirin sekalian,

5. Sehingga penghujung tahun 2013, genaplah 20 tahun Program Mikro Kredit Ar Rahnu yang di gerakkan dan dilaksanakan oleh YaPEIM yang mendapat sokongan kuat Bank Negara Malaysia pada permulaan program ini diperkenalkan. Pada peringkat awal program ini dilaksanakan melalui Bank Rakyat seawall tahun 1993 dan diikuti dengan perlaksanaannya dan pengembangannya melalui SPV yang diwujudkan khas oleh YaPEIM iaitu Koperasi YaPEIM Berehad bagi mengembangkan program ini sejak tahun 2000. Alhamdulillah sejak perlaksanaan program ini melalui Koperasi YaPEIM, program ini mendapat sokongan kuat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Kementerian Kewangan Malaysia serta pelbagai agensi dan pihak lain.

YB Dato’ Seri dan hadirin sekelian,

6. Sesungguhnya perkembangan yang pesat ini adalah didorong oleh semangat dan sokongan kuat yang di berikan oleh YAB Perdana Menteri dan YB Dato’ Seri sendiri untuk melihat Ar Rahnu YaPEIM dapat melebarkan sayap perkhidmatannya ke seluruh Negara, yang ternyata memberi manfaat yang sangat besar kepada masyarakat di Negara ini.

YB Dato’ Seri,

7. Bagi pihak YaPEIM saya ingin sampaikan setinggi penghargaan kepada semua Majlis Agama Islam dan Tabung Baitul Mal Negeri-negeri  yang komited bersama program ini sejak awal.

8. Walaupun dana pelaburan ini tidak melibatkan pengembangan program ini melalui Koperasi YaPEIM, namun apa yang penting ialah penglibatan dalam pelaburan bagi menjayakan program ini secara umum seperti ini merupakan peluang keemasan kepada Majlis dan Tabung Baitul Mal dalam menambah sumber pendapatan masing-masing.

9. Untuk makluman YB Dato’ Seri, diantara Majlis dan institusi yang terus komited daripada awal hingga kini dan terus bersama YaPEIM dalam perlaksanaan program Ar Rahnu ini  sehingga tahun 2013 adalah seperti berikut:

– Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan “MAIWP” (RM40 juta)

– Majlis Agama Islam Johor (RM20juta)

– Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (RM22juta)

– Majlis Agama Islam Kedah (RM11juta)

– Tabung Baitul Mal Sarawak (RM23juta)

– Majlis Agama Islam Melaka (RM700 ribu), dan

– Majlis Agama Islam Pahang (RM8 juta)

10. Secara peribadi saya menganggap rakan-rakan pelabur Ar Rahnu yang di koordinasi oleh YaPEIM, tidak pernah  merasa kecewa, kerana sejak awal  pulangan yang  diperolehi adalah pada kadar yang sangat memberangsangkan, iaitu jauh melebihi kadar keuntungan yang disediakan oleh sektor perbankan melalui Akaun Pelaburan Mudharabah yang diperkenalkan.

11. Dan bagi tahun  ini pula saya yakin wakil-wakil  Majlis dan Tabung Baitul Mal Negeri mungkin telah mula membuat telahan sendiri agak-agak berapa kadar keuntungan yang bakal diperolehi. Alhamdulillah sebagai mewakili YaPEIM saya sangat berbesar hati memohon jasa baik  YB Dato’ Seri untuk mengumumkan peratusan keuntungannya nanti….

12. Atas dasar itulah saya beranggapan bahawa rakan-rakan pelabur telah dan terus menunjukkan keyakinan yang tinggi dengan mempertahankan malah ada pula yang  menambah pelaburan masing-masing.

13. Sebagai bukti terhadap keyakinan ini, bahawa jumlah pelaburan di dalam program ini telah mengalami meningkat pada kadar yang sangat luar biasa iaitu (1993 berjumlah RM14.1juta telah meningkat kepada RM 121 juta pada tahun 2012 dan kepada jumlah tertinggi iaitu pada jumlah RM 158.7juta (dengan purata pelaburan untuk setahun sejumlah RM143juta)  pada tahun 2013 yang lalu.

14. Terima kasih atas kebersamaan ini. Mungkin inilah berupa sumbangan kecil YaPEIM terhadap memantapkan kewangan Majlis selain daripada penglibatan melalui saluran lain yang dikenalpasti oleh kepimpinan Majlis dari semasa ke semasa.

YB Dato’ Seri dan Hadirin sekalian,

15. Mewakili warga YaPEIM, saya sangat mengharapkan sokongan, persefahaman yang kita tunjukkan melalui program Ar Rahnu ini, dapat kita perluaskan dalam pelbagai bentuk program lain yang dilaksanakan oleh YaPEIM mahupun Majlis Agama Islam negeri-negeri khususnya menerusi pendekatan sinergi berasaskan Strategi Lautan Biru yang sangat digalakkan oleh kepimpinan Negara kita.

16. Saya juga sangat berharap bahawa samada program-program yang akan terus dilaksanakan dengan beberapa inovasi baru yang diperkenalkan, pada masa yang sama program-program baru yang bakal diperkenalkan oleh YaPEIM seperti Tabung Ibadah Korban  juga akan mendapat sokongan dan dokongan padu kepimpinan Majlis Agama Islam negeri-negeri.

17. Sesungguhnya Sokongan seperti ini sangat penting untuk menjayakan satu lagi inisiatif YaPEIM diperingkat nasional yang bertujuan menyediakan kemudahan kepada umat kita untuk menunaikan Ibadah mereka, selain program Tabung Ibadah Korban ini juga dijangka akan memberi impak yang besar kepada up stream dan down stream khususnya dari perspektif perniagaan dan perkembangan ekonomi dan kebajikan umat, InsyaAllah.

18. Terima kasih sekali lagi kepada  YB Dato’ Seri kerana sudi menyempurnakan majlis kita pada pagi ini. Terima Kasih  juga kepada semua wakil Majlis dan Tabung Baitul Mal Negeri, semua tetamu dan hadirin sekelian kerana sudi menjayakan majlis yang dianjurkan oleh YaPEIM pada hari ini.

19. Marilah kita berdoa semuga Allah SWT akan terus memberi semangat kebersamaan sesama kita dan juga terus memberi kekuatan kepada kita untuk memajukan umat dan meninggikan Syiar Agama kita, InsyaAllah.

YB Dato’ Seri dan Hadirin sekelian, saya sudahi ucapan ini dengan kalimah yang mulia…

Wabillahitaufiq Wal Hidayah wassalamu’alaikum Wr Wbth.

Top