YaPEIM » MAJLIS PENYERAHAN KEUNTUNGAN AR RAHNU YaPEIM TAHUN 2013

MAJLIS PENYERAHAN KEUNTUNGAN AR RAHNU YaPEIM TAHUN 2013

MAJLIS PENYERAHAN CEK KEUNTUNGAN PELABURAN PROGRAM MIKRO KREDIT AR RAHNU YaPEIM TAHUN 2013

Terima kasih Pengacara Majlis,

– Yang Berbahagia Dato’ Abdul Malek Awang Kechil (Presiden dan Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia)

– Y.Bhg En Abibullah Hj Samsudin (Ketua Pengarah YaPEIM)

– Pengurusan Tertinggi YaPEIM,

– Wakil Majlis Agama Islam dan Tabung Baitulmal Negeri-Negeri

– Rakan-rakan media, Dato-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

1. Alhamdulillah, syukur dan terima kasih kepada Allah s.w.t kerana atas restu dan rahmat-Nya jua,  kita dapat berkumpul bersama-sama di pagi Jumaat yang mulia ini, dalam Majlis Penyerahan Keuntungan Pelaburan Program Mikro Kredit Ar Rahnu YaPEIM Tahun 2013 kepada pelabur-pelabur yang terdiri daripada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Tabung Baitulmal Negeri-Negeri.

2. Syabas dan tahniah atas pencapaian membanggakan Program Ar Rahnu yang di inisiatif dan digerakkan oleh YaPEIM dengan sokongan padu pihak Bank Negara Malaysia dengan pelaksanaan awalnya oleh Institusi Kewangan terutamanya Bank Kerjasama Rayat Malaysia (Bank Rakyat).

3. Ar Rahnu wujud di negara ini atas kesedaran bahawa  masyarakat kita harus diberi pilihan yang sewajarnya sekaligus dapat mengelak diri mereka daripada terdedah dan terjebak dengan aktiviti pajak gadai yang tidak berteraskan Syarak dan kegiatan memberi pinjaman yang tidak berasaskan akhlak dan undang-undang.  Atas dasar itulah  Jemaah Menteri pada 30 Januari 1985 telah menyatakan persetujuan dengan Rancangan Penubuhan Pajak Gadai Islam di negara ini.

4. Bagi menjadikannya sebagai suatu kenyataan,  YaPEIM dan Bank Negara telah mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Skim pada tahun 1992 bagi merealisasikan rancangan bagi melaksanakan Pajak Gadai Islam. Berasaskan kajian yang dibuat oleh YaPEIM dan Bank Negara Malaysia,  Skim Ar Rahnu telah diperkenalkan melalui  Bank Rakyat pada 27 Oktober 1993.

5. Bagi memastikan  Program Mikro Kredit Ar Rahnu dapat dikembangkan ke seluruh negara, sekali lagi YaPEIM mengambil langkah kehadapan dengan menggerakkan dan menawarkan perkhidmatan Ar Rahnu ini keseluruh negara melalui  sebuah SPV (Special Purpose Vehicle) iaitu Koperasi YaPEIM Bhd mulai tahun 2000 .

6. Saya sangat berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana memberi perhatian yang sangat istimewa terhadap perlaksanaan Program Ar Rahnu yang digerakkan oleh YaPEIM. Dengan dokongan padu YAB Perdana Menteri, program ini telah dapat dikembangkan oleh YaPEIM hingga kini menjadi 178 cawangan di bawah koperasi YaPEIM dan secara keseluruhannya berjumnlah 280 buah cawangan termasuk yang dilaksanakan melalui institusi perbankan  (khususnya Bank Rakyat).

7. Berkat dokongan YAB Perdana Menteri, perkembangan Program Ar Rahnu yang digerakkan oleh YaPEIM perkembangan program dilihat sangat memberasangkan dan kini telah berupaya memberi perkhidmatan melalui transaksi terkumpul sehingga 31 Mac 2014 sejumlah 6.82 juta dengan jumlah pembiayaan terkumpul sebanyak RM11.67 bilion telah dikeluarkan sejak program ini diperkenalkan pada tahun 1993.  Pada setiap tahun, 1.2 juta pemegang akaun (kumpulan sasar) menerima manfaat daripada skim ini dan melibatkan pembiayaan tahunan berjumlah RM1.5 bilion.

8. Tahniah dan Terima kasih juga kerana penglibatan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Tabung Baitulmal yang sekian lama menjadi rakan setia YaPEIM dalam menjayakan program ini sejak awal pelaksanaannya pada tahun 1993 lagi.  Saya percaya, selain daripada penglibatan seperti ini merupakan bentuk sokongan dan dukungan terhadap perlaksanaan Program Ar Rahnu yang digerakkan oleh YaPEIM ini, pada masa yang sama ianyanya juga merupakan suatu peluang pelaburan yang sangat bernilai yang disediakan oleh YaPEIM kepada Majlis Agama Islam dan Institusi Islam Negeri-negeri.

9. Kerjasama erat yang memberi manfaat kepada semua pihak ini  merupakan terjemahan kepada ikatan ukhwah di antara YaPEIM dan MAIN dalam memperjuangkan kebajikan dan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Islam di negara ini. Sebab itulah YaPEIM tidak mengenakan sebarang caj kepada institusi pelabur khususnya Majlis dan Institusi yang terlibat.

10. Ternyata bahawa Imej pajak gadai sudah berubah, apabila Ar Rahnu diperkenalkan.  Dulunya ramai orang malu-malu apabila ingin memasuki kedai pajak gadai.    Kini, ramai orang memasuki kedai Ar-Rahnu untuk mendapatkan wang  bagi kegunaan tertentu seperti untuk memulakan perniagaan.

11. Berasaskan perkembangan seperti yang dinyatakan ini, memperlihatkan bahawa Program Mikro Kredit Ar Rahnu yang digerakkan YaEIM ini,  menjadi pilihan utama kepada masyarakat yang memerlukan perkhidmatan ini, khususnya yang berasaskan syara’ dan jumlah caj upah simpan yang sangat berpatutan dan tidak membebankan.

12. Daya tarik produk Ar Rahnu YaPEIM ini bukan sahaja kerana ianya berasaskan syariah, bahkan faktor tarikannya ialah perkhidmatan yang diberikan dapat memenuhi kehendak pelanggan.

13. Program Ar Rahnu yang ditawarkan YaPEIM berupaya menarik minat pelanggan bukan sahaja di kalangan orang Melayu (Islam), bahkan juga di kalangan bukan Islam, di mana peringkat nasional sekitar 7 peratus.  Terdapat cawangan tertentu di mana peratus palanggan bukan Islam mencecah 59 peratus.

14. Bagi memperluaskan perkhidmatan Ar Rahnu ke seluruh negara, YaPEIM terus komited dalam menambah cawangan-cawangan di seluruh negara, di mana pada tahun ini sahaja Insya-Allah 24 cawangan lagi akan diwujudkan menjadikan 202, daripada 178 sebelum ini.  YaPEIM mengsasarkan penambahan cawangan Ar Rahnu sehingga 400 cawangan di seluruh negara menjelang 2018.  Dengan ini, dijangkakan Program Ar Rahnu YaPEIM akan menguasai 60 peratus daripada Industri Pajak Gadai berasaskan  Islam.

15. Berasaskan perkembangan yang terus memberangsangkan, walaupun pada tahun lalu industri Pajak gadai  menghadapi cabaran yang tersendiri apabila harga emas mengalami pasang surutnya, namun dengan sukacita saya ingin mengumumkan pulangan terhadap pelaburan Program Ar Rahnu ini pada tahun 2013 ialah 7.63 peratus.  Ini bermakna pulangan yang diterima masih lagi relatif tinggi berbanding dengan pelaburan melalui institusi kewangan di negara ini.

16. Alhamdulillah, kita akan menyaksikan pada hari ini, pengagihan keuntungan Pelaburan al-Mudharabah Ar Rahnu YaPEIM kepada pelabur-pelabur yang terdiri daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Tabung Baitulmal Sarawak, Majlis Agama Islam Melaka dan Majlis Agama Islam Pahang.

17. Sesungguhnya kejayaan yang dipamerkan dalam Program Ar Rahnu YaPEIM ini sekali gus mampu menjadi model terbaik bagi memberi gambaran yang jelas betapa langkah menjayakan perniagaan sama sekali tidak menjejaskan hasrat melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap kumpulan sasar.  Selain skim ini telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan, pulangan keuntungan yang diperolehi juga memberangsangkan.

18. Sesungguhnya, Islam bukan hanya melihat hal-hal hukum dan ibadah semata-mata, tetapi merangkumi hal-hal muamalat demi memastikan kebahagian ummah di atas dunia ini.  Al-Quran menganjurkan falsafah hidup seperti dirakamkan dalam surah al-Qasas ayat 77:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan “.

19. Akhir sekali, kita berdoa agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, dan penambahbaikan terus dilakukan, untuk memastikan matlamat terus tercapai walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi semasa.

20. Sekali lagi saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Lembaga, Pengurusan dan warga YaPEIM atas kejayaan menjayakan program ini, sekaligus meletakkan YaPEIM dalam imej yang tersendiri dan sangat positif berbanding dengan imej lama yang terkait dengan sumbangan Amal Jariah masyarakat semata-mata. Tahniah  kepada institusi pelabur yang mengambil peluang kemasan yang disediakan melalui pelaksanaan Program Ar Rahnu ini.

21. Akhir sekali, dengan Lafaz Bismillah hirrahmanirrahim  dengan ini saya menyempurnakan Majlis Penyerahan Keuntungan Ar Rahnu yang di gerakkan oleh YaPEIM bagi tahun 2013.

Top